16 Januari 2023 - Telah berlangsung Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Tajin Sejahtera di Tapak Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Hulu Terengganu yang dirasmikan oleh Y.A.B Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Seramai 250 orang penerima telah menerima kunci rumah bagi projek perumahan ini. Turut hadir pada majlis tersebut YB Dato’ Dr. Alias bin Razak, EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan & Alam Sekitar, YB. Dr. Mamad bin Puteh, ADUN Kuala Berang, Tuan Haji Wan Adnan bin Wan Derahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT dan Tuan Haji Azmal bin Azaddin, Ketua Pegawai Operasi.
RMM Tajin Sejahtera ini terdiri daripada 250 unit rumah yang telah siap dibina pada 14 Disember 2022. Rumah ini juga dilengkapi 3 Bilik Tidur, 2 Bilik Air dengan keluasan 810.20 Kps bagi seunit rumah. Rumah ini berharga RM 80,000 seunit dengan kadar bayaran balik RM221.10 sebulan selama 30 tahun. RMM Tajin Sejahtera melibatkan penerima rumah daripada Dun Kuala Berang, Dun Ajil, Dun Telemong dan Dun Manir.
Manakala Majlis Pengundian Lot telah diadakan pada 12 Januari 2023 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada jam 10.00 pagi. Majlis ini dimulakan dengan taklimat oleh Penolong Pengurus Bahagian Perumahan RAKR, Encik Sheikhul Insan bin Ismail @ Ali dan Encik Azrul Affandy bin Jusoh iaitu Penolong Setiausaha Kerajaan (Dasar dan Pembangunan) dari SUK Perumahan. Seterusnya, majlis diteruskan dengan pengundian lot melibatkan semua penerima lot seramai 250 orang.