Khamis, 15 September 2022 yang lalu bertempat di Dewan Ghufrah, Restoran Bbeteng, Taman Tamadun Islam telah berlangsung majlis jamuan makan tengah hari bagi meraikan Kontinjen, Jurulatih dan Urusetia sempena Perbarisan Hari Kebangsaan 2022.
Majlis ini adalah untuk sebagai menzahirkan penghargaan dan sebagai ucapan terima kasih barisan Pengurusan PMINT terhadap komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat menjayakan perbarisan pada kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT dalam ucapannya memberikan peringatan peri pentingnya gerak kerja secara berkumpulan dan disiplin dalam menilai dan memastikan kejayaan sesuatu program, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perbelanjaan yang memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Kesatuan dan kesungguhan yang akan memastikan kejayaan tersebut.
Dalam majlis ini juga, Pengurusan PMINT telah berbesar hati menyampaikan cenderhati sebagai penghargaan tanda terima kasih kepada jurulatih yang banyak memberi tunjukan ajar sepanjang latihan perbarisan ini dijalankan sehingga PMINT berjaya dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Perbarisan Hari Kebangsaan 2022, Juara Kategori Badan Berkanun Bukan Beruniform dan Johan Ketua Kontinjen Terbaik yang membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM12,000.00.
Majlis makan tengah hari ini juga turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Korporat dan Ketua Pegawai Operasi PMINT. Semoga PMINT terus berjaya dalam semua aktiviti yang disertai seterusnya.