![]() |
|||
Majlis Perasmian Penghantaran Produk Daging Qurban |
|||
|
Pertima Trengganu Sdn Bhd anak syarikat penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyasarkan untuk menjadi pengeluar produk halal terkemuka dunia, melalui aktiviti pengetinan makanan halal khususnya daging qurban. Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM3.5 juta tahun ini untuk Pertima menaik taraf kilang bagi meningkatkan keupayaan mengetin makanan halal. Beliau berkata, pengusaha makanan tempatan disaran merebut peluang industri makanan halal untuk pasaran global yang bernilai RM1.2 trilion selaras usaha kerajaan menjadikan negara sebagai habhalal dunia. “Kerajaan negeri tidak mempunyai halangan untuk membantu meningkatkan keupayaan syarikat dan kita kena bergerak mencari serta meneroka pasaran baru mengikut kehendak pelanggan, bukan selera kita sendiri” katanya selepas merasmikan Penghantaran Produk Daging Korban Islamic Relief Worlwide (IRW) di kilang Pertima pada 28 Februari 2010. Hadir sama, Pengarah IRW Malaysia, Zawahir Bin Abdullah, wakil IRF Birmingham,London, Dr Adel Saber dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah. Serentak pelancaran itu, Pertima akan menghantar lapan kontena mengandungi 285,000 tin daging masin yang dihasilkan melalui 300 tan daging kambing biri-biri korban ke Republik Chad di Afrika dan Lubnan. Sementara itu, Zawahir berkata sebagai badan berstatus antarabangsa yang beroperasi hampir 25 tahun di 40 negara seluruh dunia, IRW bangga mendapat kerjasama dengan Pertima dan yakin dengan kualiti perkhidmatan syarikat itu. Daging korban berkenaan disembelih di Arab Saudi dan ditinkan di kilang Pertima Trengganu Sdn Bhd untuk penghantaran ke negara-negara yang memerlukan bantuan ini. Sehingga kini tiga Badan Bukan Kerajaan luar Negara melaksanakan kontrak pengetinan daging dengan Pertima iaitu Islamic Relief Worldwide dari United Kingdom, Muslim Aid Australia dan Human Appeal International Australia.
| |||
|
|||