LATAR BELAKANG CADANGAN PEMBANGUNAN
 PENGENALAN

Keperluan perancangan dan pemantauan terhadap guna tanah di peringkat negeri di tekankan oleh pihak kerajaan berikutan perkembangan guna tanah bandar yang pesat di Bandar Kuala Terengganu akibat daripada pertambahan penduduk yang semakin meningkat hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang. Seiring dengan perkembangan guna tanah yang pesat ini pelbagai isu dan masalah yang timbul terutamanya yang berkaitan dengan keperluan asas, masalah sosial, percanggahan guna tanah, pembangunan yang tidak terancang dan terurus, isu alam sekitar serta kekurangan tanah untuk penggunaan masa hadapan.


    

 HASRAT KERAJAAN NEGERI BAGI PEMBANGUNAN SEMULA KAWASAN BANDAR

Definisi pembangunan semula kawasan bandar merupakan suatu proses mempertingkatkan lagi taraf sesebuah bandar dan juga kawasan sekitarnya, Ini kerana terdapat kawasan-kawasan di bandar yang kurang bermaya dalam memainkan peranannya. Selaras dengan itu, pembangunan semula kawasan bandar perlu di lakukan dengan lebih terancang bagi menjamin penggunaan tanah yang lebih efisien dan sistematik untuk mewujudkan persekitaran bandar yang selesa. Ianya merupakan satu kegiatan untuk mengubah struktur sesebuah bandar dan kawasan sekitar tanpa mengetepikan identitinya. Pembangunan semula ini merangkumi aspek yang luas iaitu merangkumi aspek fizikal, sosial, ekonomi, politik dan pentadbiran.

Selaras dengan hasrat  kerajaan negeri untuk menjadikan Bandar Kuala Terengganu sebagai model Bandar Sempurna maka pembangunan kawasan kampung di dalam dan pinggir bandar perlu di laksanakan. Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Negeri melalui Pelan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri ( RPNT ) 2004 – 2008. Matlamat RPNT adalah untuk menyempurnakan kesejahteraan rakyat terutama dari segi penghayatan nilai-nilai syumul dan peningkatan taraf dan mutu hidup.

Sehubungan dengan itu kawasan Ladang Tok Pelam telah di kenalpasti sebagai salah satu zon yang akan di bangunkan untuk pembangunan yang lebih terancang sistematik selaras dengan salah satu strategi pembangunan RPNT iaitu membangunkan bandar-bandar dan pusat-pusat pertumbuhan serta mengurangkan ketidakseimbangan tahap sosioekonomi antara kawasan



    
 OBJEKTIF PEMBANGUNAN

Antara objektif utama pembangunan ini dibuat adalah untuk :-

  1. Menghapuskan kawasan sesak dan tidak sihat untuk didiami di bandar.
  2. Mewujudkan pemandangan dan imej kawasan bandar yang lebih baik.
  3. Meningkatkan aktiviti ekonomi kawasan Bandar.
  4. Mewujudkan kawasan kejiranan yang selesa dan selamat.
  5. Meningkatkan nilai hartanah akan datang.
  6. Menyusun semula masyarakat dalam membasmi kemiskinan.

    
KAWASAN PEMBANGUNAN

Penempatan di Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu merupakan kawasan perkampungan yang mempunyai ciri-ciri tradisi yang terdiri dari pembinaan bangunan perumahan, perkedaian dan lain-lain mengikut kedudukan lot. Pemilikan lot yang berbagai bentuk dan saiz tanpa susunan yang dirancang telah mewujudkan taburan bangunan yang tidak teratur.
Pertumbuhan Bandar Kuala Terengganu yang terus meningkat telah berkembang luas meliputi kawasan-kawasan yang dahulunya dianggap sebagai kawasan pinggir pusat bandar. Kawasan kg. Ladang Tok Pelam menjadi lokasi yang dijangka mengalami perubahan dalam proses perkembangan Bandar Kuala Terengganu iaitu serentak dengan proses pembangunan kawasan bandar dan pinggir bandar yang lainnya.
Pihak berkuasa kerajaan negeri berhasrat membangunkan kawasan Kg. Ladang Tok Pelam yang boleh menepati struktur perancangan pembangunan yang telah dipersetujui dengan mengekalkan penempatan penduduk asal dan memelihara perusahaan tradisi yang diusahakan pada masa ini. Pembangunan yang dilaksanakan ini akan menyediakan bangunan kediaman dan perniagaan yang lebih baik, meningkat dan meneruskan perusahaan tembaga yang sedia ada dan penambahbaik kepada infrastruktur kawasan dan sosial.
Kaedah pembangunan kawasan ini telah diputuskan supaya ia dilaksanakan melalui konsep Pembangunan Tanah Bersepakat (PTB) iaitu salah satu kaedah pembangunan yang dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun 1999. Mesyuarat permulaan Kajian Pembangunan Tanah Bersepakat (PTB) ini telah diadakan pada 23 Mei 2006 dan membuat keputusan :-

  • Memilih PMINT sebagai pemaju dan bertindak sebagai perunding serta membuat kajian daya hidup projek.

 


    

KAEDAH PEMBANGUNAN TANAH BERSEPAKAT (PTB)

Kaedah Pembangunan Tanah Bersepakat (PTB) ini telah dijalankan secara meluas dan berjaya dilaksanakan di beberapa buah negara terutamanya Jepun, Jerman, Taiwan dan Indonesia.
Beberapa prinsip asas kaedah PTB  ini telah di gariskan  seperti berikut :

  1. Tanah akan di susun semula dan lot – lot baru akan di agihkan semula kepada pemilik tanah
  2. Nilai tanah akan meningkat dan semua hak – hak atau sekatan kepentingan ke atas tanah tersebut akan di kekalkan.
  3. Perkongsian melibatkan kos pembinaan akan di tanggung bersama oleh semua pemilik tanah, kerajaan dan egensi utiliti.
  4. Semua pemilik tanah akan terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan kawasan tersebut.

Kebaikan Kaedah PTB :-

  • Pembangunan keseluruhan kawasan dapat dilakukan dengan menyeluruh dan komprehensif.
  • Pemilik tanah dan penduduk masih boleh terus menetap di kawasan yang sama selepas dilaksanakan.
  • Konsep ’mesra rakyat’ yang menggalakkan penyertaan dan penglibatan bersama kedua-dua pihak di dalam perancangan dan pelaksanaan projek.
  • Peningkatan nilai tanah pemilik-pemilik tanah selepas projek berbanding nilai tanah sebelum projek, dan pegangan hakmilik adalah terjamin.
  • Pemilik tanah tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk pembangunan tanah mereka.
  • Masalah pemaju melanggar syarat perjanjian dan masalah kewangan dapat dielakkan melalui penglibatan berterusan dari pihak kerajaan negeri dan tempatan.