
PERUTUSAN HARI RAYA
PENGURUS BESAR PERBADANAN MEMAJUKAN IKTISAD NEGERI TERENGGANU (PMINT)
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT dan Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah setelah kita semua berjaya menunaikan Rukun Islam yang ketiga maka tibalah masa kita menyambut tibanya fajar Syawal. Setelah menahan kemahuan dan keinginan selama sebulan, pada bulan Syawal ini marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan di dalam memerangi dan menentang hawa nafsu yang disifatkan sebagai jihad terbesar oleh Nabi Muhammad SAW.
Di sepanjang bulan Ramadhan, ibadat berpuasa tidak menghalang PMINT untuk menjalankan beberapa aktiviti amal bagi mendapatkan keberkatan. Khusus untuk wargakerja dan keluarga PMINT telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa pada 17 Ogos 2010 yang turut disertai oleh Y.A.B. Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT.
Selain itu, untuk menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporat kami di bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan PMINT telah mengambil peluang untuk mengagihkan sejumlah bubur lambuk kepada orang awam yang telah dijalankan sebanyak dua (2) sesi iaitu pada 25 Ogos 2010 bersamaan 15 Ramadhan 1413H dan 5 September 2010 bersamaan 26 Ramadhan 1413H serta sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim daripada bekas wargakerja PMINT.
Pada bulan yang mulia ini marilah kita banyak-banyak melafazkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana limpahan berbagai kurniaan dapat menikmati. Marilah kita berdoa semoga dengan kesyukuran ini kita semua akan dicucuri lebih banyak lagi nikmat-nikmat di masa depan.
Akhir kata saya bagi pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf di atas apa-apa yang terkhilaf sepanjang tahun yang berlalu. Selamat Hari raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.
Wassalam.
DATO’ HAJI ZAKARIA BIN AWANG
Pengurus Besar