PERUTUSAN PENGURUS BESAR PMINT ,Y.BHG. DATO' OSMAN BIN MUDA

Assalamualaikum, 


Salam satu Malaysia dan Salam satu Terengganu kepada semua.

Terlebih dahulu saya ingin melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat saya menyampaikan sepatah dua kata di laman sesawang PMINT ini.

 

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) merupakan agensi utama di dalam pembangunan ekonomi dan sosial di Negeri Terengganu Darul Iman semenjak daripada awal penubuhannya iaitu pada 1 April 1965. PMINT adalah agensi terawal di negeri Terengganu yang bertanggungjawab di dalam memajukan sosioekonomi negeri.

PMINT akan sentiasa mengambil perhatian dan berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan di setiap bahagian dengan penerapan nilai-nilai teras yang ada iaitu integriti, kreatif & inovatif, semangat kerja berpasukan, cakna dan motivasi diri yang tinggi.

Selain daripada itu PMINT akan memberikan penekanan kepada pembangunan sumber manusia, pemantapan sistem & prosedur kerja, penggunaan ICT dalam penyampaian perkhidmatan dan pelaksanaan transformasi organisasi secara menyeluruh.

Ini akan menyumbang kepada peningkatan sistem penyampaian yang mengutamakan pelanggan selaras dengan moto PMINT iaitu ‘Keperluan & Kepuasan Pelanggan Keutamaan Kami’.

PMINT telah mengaplikasikan  beberapa sistem pengurusan kualiti antaranya ialah Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001 : 2008 dan mengamalkan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S.

Adalah menjadi tanggungjawab PMINT untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat negeri Terengganu dan sehingga kini, PMINT mempunyai projek perumahan komersial dan perkedaian di setiap daerah di Terengganu. Projek perumahan dan perkedaian ini mampu mewujudkan penempatan baru di kawasan-kawasan yang terlibat dengan pembinaan di mana ini akan menjurus kepada penjanaan ekonomi setempat.

Halatuju PMINT adalah berlandaskan Pelan Perancangan Strategik 5 Tahun (2010 – 2014) yang telah dirangka dan menjadi panduan kepada PMINT di dalam mencapai visi sebagai ‘Peneraju, Penjana dan Penyumbang Utama Pembangunan Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu’.

Segala perancangan dan pelaksanaan tidak akan menemui kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak. PMINT akan terus menjana perubahan yang positif dan melaksanakan transformasi bagi menekankan peningkatan pembangunan ekonomi dan sosial Negeri Terengganu Darul Iman.

Akhir kata, saya sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan daripada semua demi penambahbaikan dan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan PMINT.

Selamat melayari laman sesawang PMINT.

Sekian,
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


DATO’ HAJI OSMAN BIN MUDA
PENGURUS BESAR