3
 
 

MAJLIS PENYERAHKAN KUNCI DAN PECAH TANAH PANGSAPURI LADANG GEMILANG

 
 

 

Y.A.B. Dato’ Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu telah meluangkan masa hadir ke Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 1 pada 20 Julai 2010.
Peringkat pertama seramai 91 orang penyewa terdiri daripada penduduk Kampung Ladang yang terlibat dalam proses penempatan semula telah menerima kunci untuk menduduki Pangsapuri Ladang Gemilang 1.

Penempatan semula ini membolehkan kampung yang terlibat dibangunkan dengan kediaman serba moden serta rangkaian kedai komersial.
Projek Pangsapuri Ladang Gemilang 1 merangkumi 192 unit rumah kos rendah dan 88 unit rumah kos sederhana, sebuah surau dua tingkat yang boleh menampung 200 jemaah serta sebuah pencawang elektrik dan loji kumbahan berpusat.

Pangsapuri Ladang Gemilang 1 melibatkan perbelanjaan RM35 juta memberi keselesaan dengan komposisi tiga bilik tidur dan 2 bilik air, manakala bagi unit kos sederhana pula, terdapat empat buah bilik serta 3 bilik air, selain kemudahan sampingan dan keselamatan yang terjamin.

Untuk permulaan, Pangsapuri ini akan dibuka untuk disewa RM300/bulan bagi unit kos rendah dan RM 850/bulan bagi kos sederhana. Projek ini bakal mengubah wajah Kampung Ladang daripada sebuah kampung yang tidak tersusun menjadi sebuah perkampungan moden sesuai dengan status Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Pada majlis yang sama juga Y.A.B. Dato’ Haji Ahmad bin Said telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Ladang Gemilang 2 yang bakal disiapkan mengikut perancangan bagi menampung keperluan dan kemudahan rakyat Terengganu khususnya penduduk di sekitar Kampung Ladang yang terlibat dengan perpindahan ini.

Y.A.B. dalam ucapan beliau menyatakan bahawa agenda perumahan merupakan salah satu agenda utama di dalam “Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan” di Negeri Terengganu. Kerajaan telah merancang dan melaksanakan pembangunan secara menyeluruh dan teratur untuk Bandaraya Kuala Terengganu supaya bersesuaian dengan statusnya sebagai sebuah bandaraya.

Beliau juga berharap supaya para penghuni Pangsapuri Ladang Gemilang bekerjasama bagi memastikan kemudahan-kemudahan yang ada sentiasa dijaga dan diguna dengan baik. Beliau seterusnya mengingatkan supaya penjagaan yang bersih dan kemas hendaklah dibuat daripada peringkat awal lagi bagi memastikan kebersihan pangsapuri tersebut sentiasa terjaga.



 
 

12

 

   

Kembali